Friday, March 27, 2009

TAZKIRAH

JANUARI ( MINGGU 2 )

Tajuk : ALAM PERSEKOLAHAN

1. Ilmu Itu Pelita Hati ? Murid-murid yang dikasihi, kekayaan bukan sahaja diukur dari wang ringgit mahupun emas permata malah yang lebih berharga dan bernilai bagi seseorang ialah ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu boleh merubah diri seseorang dari jahil kepada alim, dari miskin kepada kaya dan dari dikeji kepada dihormati .

2. Kita amat bersyukur kerana dengan nikmat keamanan negara kita, bukan sahaja kita dapat hidup bahagia bersama keluarga, riang ketawa bersama-sama rakan taulan malah seperti yang kita lihat pada hari ini kita dapat bersama-sama datang ke sekolah untuk menuntut ilmu untuk kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

3. Murid-murid yang dikasihi, sekolah merupakan rumah kita yang kedua dan guru-guru bagaikan ibu bapa bagi kita. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membina sekolah bagi mempastikan rakyatnya bermula dari sekolah rendah lagi hinggalah ke peringkat menengah mendapat didikan yang sempurna bagi melahirkan bangsa yang cemerlang di masa akan datang.

4. Sebagai seorang murid, kita mestilah gunakan kesempatan semasa kita berada di sekolah dengan sebaik mungkin. Kerana sepanjang kita berada di sekolah, kita akan diajar serta dibimbing oleh guru-guru dengan berbagai ilmu yang meliputi rohani dan jasmani.

2. Murid-murid yang dikasihi, amat malanglah bagi seorang murid apabila ibu bapanya menghantar ke sekolah dengan harapan suatu hari nanti akan menjadi seorang yang berjaya, namum peluang yang terhidang dihadapan ini dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang tak berfaedah seperti bergaduh, ponteng kelas, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.

3. Sama-samalah kita cerminkan diri kita, kita tanya di mana kita berada sekarang? Apakah yang seharusnya kita lakukan? Dan adakah kita sudah bersedia untuk menjadi seorang murid yang bertanggungjawab terhadap diri? Sekiranya perkara tadi masih belum kita lakukan, masih belum terlambat untuk kita lakukan yang terbaik untuk diri kita. Berlumba-lumbalah merebut peluang di alam persekolahan ini kerna ? Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudia Tiada Gunanya ?

4. Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang membawa maksud : ? Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara iaitu? ;
i.Sihat sebelum sakit
ii.Muda sebelum tua
iii.Masa lapang sebelum datangnya masa sibuk
iv.Kaya sebelum papa
v.Hidup sebelum mati


JANUARI ( MINGGU 3 )

Tajuk : MENGAPA ANDA KE SEKOLAH

1. Adakah sama orang yang kaya dengan orang miskin? Adakah sama orang yang sihat dengan yang sakit? Tentu tidak, begitu jugalah jika ditanya kepada kita adakah sama diantara orang yang cerdik dengan orang yang bodoh.

2. Jika kita ingin dapatkan duit yang banyak dan menjadi kaya kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Jika kita inginkan tubuh badan yang sihat kita mengambil makanan yang berzat dan jika ditanya kepada kita, mengapa kita ke sekolah? Sudah tentulah jawapannya ialah kerana sekolah merupakan pusat ilmu dan tempat lahirnya orang-orang yang cerdik pandai dalam berbagai bidang.

3. Murid-murid yang dikasihi sesungguhnya menuntut ilmu adalah satu perkara yang disuruh oleh agama Islam. Menuntut ilmu mestilah bermula sejak dari kecil lagi agar kita tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan orang lain. Sepertimana hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud : ? Tuntutlah ilmu daru buaian hinggalah keliang lahad ?.

4. Di dalam hadis yang lain pula Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud : ? Sesiapa yang mahukan kesenangan dunia hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang mahukan kesenangan akhirat hendaklah dia berilmu.Dan sesiapa yang mahukan kesenangan kedua-duanya maka hendaklah dia berilmu?.

5. Dengan berilmu juga,kita akan dipandang mulia dan disanjung tinggi. Dengan berilmu juga kita boleh membawa diri kita kemana-mana sahaja,tanpa rasa diri tertipu oleh anasir-anasir yang tidak sihat.Diantara kepentingan orang yang berilmu:
5.1. Menjamin kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.
5.2. Dapat mentadbir masyarakat,negara dan dunia.
5.3. Melahirkan masyarakat yang bermoral dan bermaruah.
5.4. Dapat mewujudkan masyarakat Hadhari.
5.5. Mewujudkan sebuah negara maju mengikut kehendak agama.

6. Murid-murid yang dikasihi, pepatah Arab yang bermaksud : ? Menuntut Ilmu Semasa Kecil Umpama Ukiran Di Atas Batu Dan Menuntut Ilmu Di Masa Tua Umpama Ukiran Di Atas Air ? . Di antara orang yang memuliakan ilmu :
6.1. Tawadduk apabila berilmu.
6.2. Mengamalkan ke arah kesejahteraan
6.3. Sayang kepada ilmu yang dipelajari
6.4. Tidak membazirkan masa

Kelebihan orang yang menuntut ilmu:
1. Memudahkan perjalanan ke syurga
2. Mendapat keredhaan Allah
3. Didoakan oleh semua penghuni makhluk di bumi,di langit dan di laut.

7. Sesungguhnya murid yang baik dan cemerlang adalah murid yang berilmu,dan murid yang berilmu merupakan permata yang amat bernilai kepada ibu bapa dan negara.




JANUARI ( MINGGU 4 )

Tajuk : ADAB BELAJAR

1. Setiap perkara yang kita lakukan perlu mengikut adab. Dalam menuntut ilmu, terdapat adab-adab yang perlu diamalkan supaya perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan teratur dan berkesan :

i.Niat : Seseorang murid mestilah memasang niat yang suci dalam hatinya. Niat yang baik itu menjernihkan hati hingga mudah memahami pelajaran. Niat yang penuh keihklasan menyingkirkan syaitan dan mengundang dan Nur Illahi.

ii.Azam : Seseorang murid mestilah mempunyai kemahuan untuk memahami sesuatu ilmu. Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud :? Hendaklah engkau berhati teguh seperti keteguhan hati para Rasul yang memiliki azam yang tinggi ?.

iii.Tekun : Pelajar mestilah memberi tumpuan semasa belajar. Diriwayatkan :
PRIVATETelah berkata Ibnu Mas'ud :" Adalah Rasulull s.a.w apabila berdiri di atas mimbar,kami sekelian menghadap beliau
dengan wajah-wajah kami" [Hadis Riwayat At-Tarmizi]
Dalam hadis yang lain ada diingatkan perlunya diam dikala khutbah (pengajaran) berlangsung, supaya isi pelajaran dapat diserap dengan baik

iv.Disiplin: Seseorang yang menuntut ilmu perlu ada sikap disiplin. Ini penting dalam menentukan arah matlamat kita untuk mendapatkan ilmu. Jika sikap disiplin dapat diamalkan dan dipupuk dalam diri pelajar, nescaya perlaksanaan pembelajaran menjadi mudah. Pelajar boleh menentukan dan merancang kaedah pembelajarannya dan dapat mencorak masa depan sendiri sejak awal.

v.Taat : Selain sikap disiplin, sikap taat juga penting. Seorang murid itu perlu taat pada gurunya. Ini kerana ketaatan seorang yang jahil kepada orang yang terpelajar adalah mengikut perintah agama iaitu ketaatan seluruh umat kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda bersabda yang bermaksud : ? Ambillah apa yang didatangkan kepada Rasul kepadamu dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi ? . Juga firman Allah yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah".

vi.Hormat : Murid perlu menghormati guru yang mengajarnya supaya wujud keadaan yang harmoni dan hubungan kasih sayang. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hassan Al-Mawardi : " Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya". "Muliakanlah guru-guru agama, kerana barangsiapa memuliakan mereka maka bererti mereka memuliakan aku".

vi.Memelihara Makanan dan Minuman : Pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda amat
menitik beratkan soal permakanan dan Baginda pernah menyebut tentang seorang
manusia yang permintaannya tidak dimakbulkan oleh Allah Taala, walaupun dia
sering menadah tangan dan menyebut 'Ya Allah, Ya Allah'. Ini disebabkan sumber
permakanan dan minuman yang haram dan mempunyai unsur syubhah. Oleh itu,
permakanan perlu dijaga untuk mendapat kecerdasan otak, kesihatan fizikal serta
keberkatan dalam pembelajaran.



FEBRUARI ( MINGGU 1 )

Tajuk 1: ADAB TERHADAP GURU

1. Murid-murid yang dikasihi, dulu kita tidak kenal A,B dan C,kita tidak tahu membilang 1,2 dan 3. Dari lidah kita yang telor dan tangan terketar-ketar kita lihat diri kita sekarang, kita bukan sahaja mampu menyebut dan membilang malah lebih dari itu kita mampu lakukan. Segala-gala yang kita miliki pada hari ini adalah bermula dari seorang guru.

2. Sebaik saja kita menjejak kaki ke kawasan sekolah, siapakah orang yang bertanggungjawab terhadap kita? Jawabnya tak lain dan tak bukan ialah guru.Tahukah kita siapa pula guru? Guru merupakan sumber utama kepada proses pendidikan dan pembelajaran di sekolah.Guru merupakan pengganti ibubapa/ penjaga ketika kita berada di sekolah selama 8 jam sehari.Oleh kerana itu, kita hendaklah mentaati dan menghormati guru sebagaimana kita kasih dan menghoramati ibubapa.

3. Murid-murid yang dikasihi, siapakah guru kepada kita? Adakah selama ini kita tahu dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh guru kita? Pepatah Arab yang bermaksud : Sesiapa yang memuliakan orang alim yakni gurunya,bererti dia memuliakan tuhannya. Guru adalah orang yang banyak berjasa kepada kita.

3.1. Guru adalah ? Muaalim? iaitu menyampaikan ilmu samada llmu Fardhu Ain ataupun llmu Fardhu Kifayah.
3.2. Guru adalah ?Murabbi? iaitu mendidik dan mengasuh kita tentang cara hidup Islam yang digarisakan
melalui Al-Quran dan Al- Sunnah.
3.3. Guru adalah ?Muaddib? iaitu mengajar adab-adab dan tatasusila Islam sepertimana yang telah ditunjuki
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
3.4. Guru sebagai ?Muthabit dan Muwahhid? iaitu mengukuh aqidah dan pegangan serta membina keimanan
dan keyakinan terhadap Allah Taala.
3.5. Guru sebagai ?roll model? iaitu sebagai contoh dalam berbagai aspek samada dalam bentuk
perlakuan,komunikasi,penampilan dan sebagainya.
3.6. Guru juga bertanggungjawab menegakkan amal maaruf nahi mungkar.
3.7. Guru bertanggungjawab melahirkan insan yang mempunyai kekuatan
dalaman dan ketahanan diri murid-murid.

4. Murid-murid yang dikasihi, oleh itu kita hendaklah beradab terhadap guru dengan melakuan amalan sepertimana berikut:
4.1. Memberi salam dan sentiasa bermanis muka ketika berjumpa dengan guru.
4.2. Menghormati,mematuhi dan mengikuti segala nasihat yang diberikan oleh guru.
4.3. Memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh guru di dalam atau di luar bilik darjah.
4.4. Sentiasa ringan tulang dan membantu guru walaupun tanpa disuruh.
4.5. Berdoa memohon taufik semoga Allah memberi keberkatan llmu yang dipelajarinya dan sentiasa
mendoakan guru.
4.6. Sentiasa berterima kasih dan bermohon maaf diatas sebarang kesilapan dan kesalahan yang
dilakukan.

5. Murid-murid yang dikasihi, Insya Allah jika kita melakukan amalan tersebut segala ilmu dan tunjuk ajar yang dicurahkan oleh guru terhadap kita akan direstui dan diberkati. Semoga segala ilmu yang kita perolehi daripada guru akan membawa kejayaan kepada kita dunia dan akhirat.



FEBRUARI ( MINGGU 2 )

Tajuk : ADAB DI DALAM MAJLIS/PERHIMPUNAN

1. Murid-murid yang dikasihi, dalam kehidupan seharian adakalanya kita menghadiri majlis samada yang diadakan di sekolah, masjid dan sebagainya. Bila disebut saja majlis atau perhimpunan sudah tentu tergambar difikiran anak-anak satu suasana di mana sekumpulan manusia berkumpul beramai-ramai sama ada dalam satu majlis ceramah, taklimat atau mesyuarat mahupun perhimpunan mingguan sepertimana yang kita ikuti pada setiap minggu.

2. Setiap kali majlis ini diadakan kita sepatutnya dapat menyesuaikan diri agar kita tidak menjadi seorang pengganggu pada majlis yang kita ikuti. Kita sepatutnya memberikan perhatian, tumpuan dan mendengar dengan hati-hati kerana melalui majlis ini berbagai faedah dan ilmu yang kita perolehi. Antara persediaan peraturan dan adab yang perlu ada semasa kita berada di dalam majlis atau perhimpunan ialah :

2.1. Sentiasa senyum atau bermanis muka semasa berjumpa dengan guru-guru dan juga kawan sebagai tanda kemesraan antara satu sama lain.
2.2. Memberi dan menjawab soalan yang diberikan dengan ikhlas dan sopan.
2.3. Berjalan dengan sopan dan teratur ke tempat perhimpunan dan dalam keadaan senyap, dengan
memenuhkan ruang hadapan terlebih dahulu.
2.4. Duduk dengan beradab dan memberikan tempat duduk atau laluan kepada orang yang baru datang.
2.5. Tidak menggangu orang lain seperti membuat bising, berbual-bual, berpaling ke kiri dan ke kanan.
2.6. Memberikan perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh penceramah dengan mencatatkan isi-isi penting.
2.7. Menghormati majlis dan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan dan jangan keluar sebelum
majlis tamat.
2.8. Menghidupkan suasana majlis dengan penuh kemesraan dan menjaga ketenteraman majlis.
2.9. Menutup majlis dengan membaca surah al-Asr dan tasbih kaffarah.

3. Murid-murid yang dikasihi, tanpa kita sedari sebenarnya semasa kita mengikuti majlis terutamanya majlis ilmu kita dikunjungi oleh para malaikat yang turut sama mengikuti majlis tersebut. Kita juga harus berwaspada kerana syaitan juga turut ada bersama dengan tujuan untuk menggoda manusia agar lalai di dalam majlis ilmu.

4. Dengan panduan-panduan yang telah diberikan, Insya Allah ianya menambah keberkatan dan kebaikan kepada kita semasa kita berada di dalam majlis ilmu. Kita juga mengharapkan segala menafaat yang kita perolehi semasa berada di dalam majlis dapat kita amalkan dalam kehidupan.


FEBRUARI ( MINGGU 3 )

Tajuk : ADAB DI KANTIN

1. Murid-murid yang dikasihi, kantin adalah tempat semua murid kunjungi untuk menikmati makanan dan minuman semasa waktu rehat di sekolah. Semasa berada di kantin murid diarah mematuhi adab-adab yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah sebagaimana berikut :

1.1. Beratur semasa membeli.
1.2. Menyentuh dan mengambil mana-mana kuih yang hendak dibeli sahaja.
1.3. Duduk dengan beradab dan bersopan santun.
1.4. Sebelum makan hendaklah mencuci tangan dan membaca doa makan.
1.5. Makan dengan menggunakan tangan kanan.
1.6. Semasa makan pasti tiada makanan yang tumpah.
1.7. Jangan membuat bising & bergurau semasa menikmati makanan.
1.8. Jangan meludah atau melakukan perbuatan yang meloyakan semasa makan.
1.9. Membaca doa selepas makan
1.10. Membasuh tangan selepas makan.

2. Disamping kita menjaga adab-adab semasa makan, kita juga dikehendaki mematuhi peraturan di kantin terutama sekali cuba hindarkan daripada berada di kantin pada waktu yang tidak sepatutnya kita berada di kantin iaitu semasa kita belajar.

3. Murid-murid yang dikasihi, memakan makanan atau meminum minuman yang haram juga tidak sepatutnya dilakukan oleh kita. Oleh itu, jangan sama sekali cuba-cuba untuk mengambil makanan dan minuman di kantin tanpa membayar terlebih dahulu. Walaupun orang lain tidak melihat perbuatan kita, seharusnya kita perlu ingat Allah Taala sentiasa melihat semua perbuatan makhlukNya.

4. Pengambilan makanan dan minuman yang tidak halal juga salah satu daripada punca menyebabkan kita sukar untuk mengingati dan memahami apa yang diajar oleh guru.

5. Sebagai langkah berjaga-jaga agar kita tidak cenderung untuk melakukan perkara yang buruk semasa berada di kantin, kita hendaklah sama-sama saling mengingati, menegur dan menasihati rakan-rakan kita yang ingin melakukan perkara yang buruk.

6. Murid-murid yang dikasihi, kita juga sepatutnya menerima dengan hati yang terbuka segala ingatan, teguran dan nasihat yang diberikan oleh rakan kita. Semoga dengan adab dan amalan baik yang kita lakukan semasa berada di kantin menambahkan lagi selera kita untuk makan dan minum dengan tenang.



FEBRUARI ( MINGGU 4 )

Tajuk : ADAB SEMASA MAKAN

1. Murid-murid yang dikasihi, manusia adalah makhluk ciptaan Allah Taala yang memerlukan segala nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia ini. Antara nikmat yang sentiasa kita kecapi ialah nikmat makan. Setiap makhluk memerlukan makanan untuk hidup, membesar dengan sihat, menambah tenaga dan sebagainya. Makan akan menjadi satu ibadah jika diamalkan mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.

2. Untuk mendapat keberkatan daripada Allah Taala Islam telah menggariskan beberapa cara adab makan sebagai panduan kepada umatnya, diantaranya:

2.1. Memulakan makan dengan membaca Bismillah dan membaca doa sebelum makan dengan betul sebagai tanda kita mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan.
2.2. Makan dengan tangan kanan kerana Rasulullah suka mendahulukan kanan dalam semua urusan sepertimana sabdanya yang bermaksud : ?Adalah Nabi Muhammad s.a.w menjadikan tangan kanannya untuk baginda makan, minum, berwuduk, memakai, mengambil, meberi dan Baginda menggunakan tangan kirinya untuk selain daripada itu ?.
2.3. Mengecilkan suapan serta mengunyah makanan sehingga hancur bertujuan untuk menyihatkan tubuh badan, mengurangkan dahaga dan memudahkan proses penghadaman makanan.
2.4. Makan dengan cermat, tenang dan perlahan-lahan, tidak gopoh dan tidak meniup makanan yang panas.
2.5. Duduk dengan sopan ketika makan, makan secara sederhana dan dilarang makan secara berlebihan.
2.6. Mengambil makanan yang dekat terlebih dahulu dan tidak melakukan pembaziran.
2.7. Elakkan minum air semasa makan.
2.8. Makan sekadar untuk kenyang dan hendaklah berhenti makan apabila sudah kenyang.
2.9. Mengucapkan Alhamdulillah dan membaca doa selepas makan sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah.

3. Murid-murid yang dikasihi, oleh itu setiap aktiviti yang telah kita lakukan dan akan kita lakukan hendaklah dilakukan dengan niat kerana Allah agar perlakuan kita mendapat keberkatan Allah. Kita juga hendaklah memastikan makanan yang kita ambil adalah halal, berkhasiat dan baik untuk perkembangan minda. Dengan ini, secara tidak langsung menuntut murid-murid tidak mengambil makanan yang kurang berkhasiat seperti makanan ringan yang menjadi kegemaran anda.

4. Dengan cara pengambilan makanan yang betul dan seimbang kita juga terhindar dari terkena sebarang penyakit yang berpunca daripada makanan.



MAC ( MINGGU 1 )

Tajuk : MENGHAYATI HIJRAH RASUL

1. Murid-murid yang dikasihi, setiap kali tibanya bulan Muharram mengingatkan kita satu peristiwa yang telah berlaku dalam hidup junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini dikenali dengan Maal Hijrah, tahukah murid-murid apa itu hijrah ? Hijrah bermaksud berpindah yang berasal daripada peristiwa hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Bilakah berlaku peristiwa hijrah itu? Berlakunya hijrah pada 1 Muharram tahun ke 10 kenabian iaitu pada tahun 622 masihi. Penghijrahan Rasul itu memberi kesan yang mendalam kepada seluruh ummat Islam sehingga ke hari ini samada penghijrahan dari segi rohani dan jasmani.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan penghijrahan jasmani dan rohani ? Penghijrahan rohani ialah seseorang itu mestilah berubah daripada melakukan sifati-sifat Mazmumah ( Buruk ) kepada sifat Mahmudah ( Baik ) seperti hasad dengki, iri hati, takabur, riak dan sebagainya. Manakala penghijrahan jasmani merupakan perpindahan individu dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk tujuan tertentu seperti mendapat keperluan hidup dirinya dan keluarganya.

3. Ketabahan dan kesabaran Rasulullah s.a.w dalam menghadapi tentangan musuh banyak memberi pengajaran kepada kita umat Islam seluruhnya. Terutama sekali kita patut mencontohi sikap dan sifat yang ada pada Rasulullah s.a.w. Kata pepatah Melayu ? Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya ? Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara yang kita lakukan dan mestilah menghasilkan kejayaan dan kecemerlangan.

4. Hijrah Rasulullah s.a.w. juga mengajak kita mencontohi kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w merancang dan bertindak sehinggalah Baginda s.a.w yang ditemani oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq selamat sampai ke Madinah dengan selamatnya. Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah dalam kita melakukan sesuatu perkara khususnya kita sebagai seorang murid cubalah kita elakkan daripada perkara-perkara yang boleh menjadi penghalang untuk kita berjaya, antaranya ialah :

4.1. Jangan melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa atau di saat akhir.
4.2. Lakukan kerja dalam keadaan tenang dan sabar.
4.3. Berikan tumpuan kepada apa yang dilakukan dan bertindak mengikut peraturan.

5. Murid-murid yang dikasihi, sebenarnya banyak perkara lagi yang kita dapat pelajari melalui peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Apa yang penting bagi kita semua, sama-samalah kita amalkan sifat terpuji yang ada pada Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan harian agar kita mampu menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.





MAC ( MINGGU 2 )

Tajuk : SAYA SUKA MEMBACA

1. ? Membaca Adalah Jambatan Ilmu ? Murid-murid yang dikasihi, sebagai seorang murid kita bukan sahaja mengharapkan apa yang diajar oleh guru di sekolah sahaja untuk mendapat ilmu. Kita juga boleh menambah dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan kita dengan cara menjadikan membaca sebagai kerutinan atau hobi kita di masa lapang.

2. Di dalam al-Quran Allah Taala telah berfirman yang bermaksud : ? Bacalah. Dengan nama Tuhanmu yang menjadikan alam. Yang mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang dia tidak tahu? .( surah al-Alaq ayat 1-5 ). Berdasarkan kepada maksud ayat tersebut, maka jelaslah kepada kita membaca merupakan perintah Allah Taala kepada hambaNya.

3. Murid-murid yang dikasihi, Jika diteliti betul-betul memang wajarlah kita jadikan membaca sebagai amalan dan kerutinan hidup kita seharian. Ini kerana melalui amalan ini banyak menafaat yang dapat kita perolehi. Disamping menambah ilmu dalam berbagai bidang dengan membaca juga kita tidak membuang masa dengan sia-sia.

4. Bila kita melihat diri kita sebagai seorang pelajar, sudah tentulah amalan membaca ini banyak mendatangkan kebaikan kepada kita, terutama sekali pada setiap tahun kita akan berhadapan dengan peperiksaan. Dengan hanya mengharapkan apa yang diajar oleh guru di dalam kelas tidak mencukupi, ianya perlu disusuli dengan mengulangkaji dan membaca tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru.

5. Bagi seorang murid yang bijak menguruskan masanya, tentu mereka pandai membahagikan masa antara mana yang lebih penting dalam hidup mereka. Jesteru itu, mereka mempunyai jadual sendiri agar tidak terus leka dengan perkara-perkara yang tak berfaedah. Mereka akan gunakan sebahagian dari masa mereka untuk membaca buku-buku pelajaran dan buku-buku berbentuk ilmu yang berfaedah.

6. Sikap suka membaca seharusnya dimiliki oleh setiap orang murid, kerana dengan membaca boleh membawa perubahan kepada diri seseorang melalui pengelaman, pengajaran dan tunjuk ajar bahan bacaan yang dibaca. Marilah kita sama-sama membentuk amalan yang baik ini ke dalam diri kita bermula hari ini, dan berterusan sampai bila-bila. Janganlah kita bertangguh untuk melakukan amalan yang baik ini kerana setiap masa yang hadir dalam hidup kita amat mahal nilainya.

7. Murid-murid yang dikasihi, kita jangan tanyakan pada orang lain bila untuk memulakan amalan membaca ini. Tanya pada diri kita, sampai bilakah kita terus membuang masa dengan sia-sia tanpa melakukan perbuatan yang berfaedah kepada diri kita hari ini dan masa akan datang.




MAC ( MINGGU 3 )

Tajuk : BUDAYA MENJAGA KEBERSIHAN DIRI

1. Maksud hadis Rasulullah s.a.w. : ? Kebersihan sebahagian daripada iman ?. Murid-murid yang dikasihi, kebahagiaan dan kesenangan hidup seseorang samada di dunia mahupun di akhirat bergantung kepada perilaku dan adab terhadap diri, kesucian dan kebersihan jiwa. Hal ini berdasarkan firman Allah di dalam Al-Quran Surah As-Syams ayat 9 hingga 10 yang bermaksud :? Berjayalah orang yang menjanjikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih ( dengan iman dan amal ). Sesungguhnya beruntunglah orang-orang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah bagi orang yang mengotorinya ?.

2. Kesucian dalam kebersihan jiwa adalah dipengaruhi oleh kebaikan iman dan amal soleh, dan kerosakan jiwa adalah punca kekufuran dan maksiat. Kita hendaklah berusaha menjaga diri dari membersihkan serta menyucikan jiwa dengan perbuatan yang baik :

2.1. Membaca al-Quran
2.2. Solat sunat
2.3. Mengekaln amalan mahmudah
2.4. Belajar ilmu pengetahuan
2.5. Membersihkan diri ( mandi )
2.6. Bertaubat dan berdoa memohon keampunan Allah Taala

3. Jiwa juga harus dididik dengan meninggalkan perkara-perkara berikut :

3.1. Segala perbuatan dosa atau perkara mazmumah
3.2. Menjauhi diri daripada perkara yang menodai dan merosakkan akidah.

4. Murid-murid yang dikasihi, kita harus ingat setiap amalan baik buruk semasa hidup di dunia ini akan dicatat olek malaikat dan akan menerima balasan di akhirat nanti. Oleh itu, anda sebagai murid seharusnya membersihkan diri dari melakukan perkara-perkara keji dan dilarang oleh Allah Taala agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan kerahmatan di hari pembalasan nanti.

5. Antara ciri-ciri seorang murid yang baik dan berjaya ialah mereka yang sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan perkara yang tidak baik. Ini kerana dengan melakukan perbuatan buruk menjadi penghalang untuk seorang murid mendapat keberkatan ilmu yang dipelajarinya.

6. Kita juga harus memberi perhatian kepada penjagaan tubuh badan kita seperti mengambil makanan yang berzat dan halal. Membersihkan diri dari sebarang kekotoran agar terhindar dari segala penyakit serta penampilan kita yang menyenangkan orang lain. Bersukan juga boleh membantu kita mengekalkan kecergasan fizikal.

5. Murid-murid yang dikasihi, dengan mengutamakan kebersihan diri secara menyeluruh bukan sahaja kita mampu menjaga kesihatan dan terhindar dari segala penyakit zahir dan batin malah amalan ini juga merupakan ibadat yang mendapat ganjaran Allah Taala jika dilakukann dengan cara yang betul.

9. Dalam melakukan perkara yang baik, kita boleh jadikan para nabi sebagai contoh tauladan kepada kita. Sifat-sifat Mahmudah yang ada pada para nabi sekiranya diamalkan dalam kehidupan kita Insya Allah akan mendatangkan banyak kebaikan kepada kita.




MAC ( MINGGU 4 )

Tajuk : MASA ITU EMAS

1. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Asr yang bermaksud : ? Demi masa, sesungguhnya manusia sentiasa di dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran?. Di sini Allah Taala mengigatkan hambaNya supaya menghargai masa yang ada sebaik mungkin agar ianya tidak akan terlepas begitu sahaja, kerana masa yang telah berlalu tidak akan berulang kembali.

2. Kejayaan dan kegagalan menguruskan masa akan memberikan kesan dan akibat kepada setiap perkara. Kesan baik jika diuruskan dengan baik dan kesan yang amat buruk jika tidak dapat diuruskan dengan baik. Berkata Hukama? : ?Masa itu seperti mata pedang, kalau kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu?.

3. Orang yang inginkan kejayaan akan mengatakan : ?Jangan tangguhkan kerja hari ini sehingga esok, kerana esok belum tentu menjanjikan sebuah kejayaan?. Sebagai seorang pelajar kita hendaklah berusaha dengan tekun dan gigih untuk mencapai kejayaan dalam ujian atau peperiksaan.

4. Orang yang suka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah akan mendapat kerugian di dunia dan juga di akhirat. Apa tidaknya, kalau orang belajar kita ponteng, orang bekerja kita mencuri tulang dan orang ke masjid kita asyik dengan urusan dunia yang tak pernah selesai. Oleh itu, uruslah masa kita dengan sebaik mungkin, agar masa yang Allah peruntukkan kepada kita tidak disia-siakan begitu sahaja.

5. Murid-murid yang dikasihi, sekiranya seseorang itu tidak mampu menguruskan masanya dengan sebaik mungkin mereka tergolong dikalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Ini kerana mereka yang cuai dan lalai menguruskan masa dengan baik, tentu tidak dapat memenafaatkan peluang yang ada sedangkan banyak lagi perkara yang mesti dilakukan oleh mereka. Akibatnya, orang yang tidak menghargai masa yang ada pada mereka akan tercicir segala peluang yang sepatutnya diperolehi.

6. Sama-samalah kita renungkan kata-kata Imam al-Ghazali berkaitan dengan masa dan peluang, katanya : ? Orang yang sama dengan hari kelmarin adalah orang yang rugi,
orang yang kurang dari hari kelmarin adalah orang yang zalim dan
orang yang lebih dari hari kelmarin adalah orang yang beruntung ?



APRIL ( Minggu 1 )

Tajuk : SAYANGI DIRI ANDA

1. Allah Taala berfirman yang maksudnya : ?Jangan kamu masukkan diri kamu ke jurang kebinasaan?. Murid-murid yang dikasihi, hendaklah kita bersyukur kepada Allah Taala dengan nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita dan jangan kita mencari jalan ke arah kehancuran.

2. Setiap manusia akan dihisab samada amalan yang baik dan juga yang buruk .Anggota tubuh badan kita akan menjadi saksi diakhirat dengan segala perbuatan kita. Allah Taala berfirman yang maksudnya : ? Dihari kiamat akan menjadi saksi ke atas kamu oleh lidah, tangan , kaki diatas apa yang telah kamu lakukan ?.

3. Hendaklah kita menyanyangi diri dengan menjaga setiap anggota daripada melakukan maksiat dan dosa.
3.1.Anggota mata : -
3.1.1.Untuk melihat kebesaran kejadian Allah Taala disamping memikirkan cara untuk bersyukur kepadaNya.
3.1.2.Untuk melihat nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita.

3.2.Anggota telinga :-
3.2.1.Untuk mendengar perkara-perkara yang disuruh oleh Allah.
3.2.2.Mendengar perkataan yang membawa ketakwaan kepada Allah.

3.3.Anggota lidah.
3.3.1.Untuk bercakap perkataan baik dan benar.
3.3.2.Memeberi nasihat kearah kebaikan.
3.3.3.Berzikir dan mengingati Allah.

3.4.Anggota perut.
3.4.1.Makan makanan yang halal dan bersih.
3.4.2.Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

3.5.Anggota kemaluan.
3.5.1.Gunakan dengan kehendak Allah untuk membuang air kotor dari badan.
3.5.2.Organ pembiakan dengan cara yang betul dan halal.

3.6.Anggota tangan.
3.6.1.Melakukan perbuatan maaruf dan mencegah kemungkaran.
3.6.2.Menjaga keselamatan diri .
3.6.3.Mencari dan memberikan rezeki yang halal.

3.7.Anggota kaki.
3.7.1.Berjalan ketempat mulia seperti masjid.
3.7.2.Menegakkan syiar Islam.
3.7.3.Mengawal diri dan harta.

4. Oleh yang demikian, kita hendaklah menyayangi diri dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan serta perbuatan yang merugikan. Sebagaimana mafhum dari firman Allah Taala : ? Sekiranya kamu bersyukur dengan nikmatku nescaya aku akan tambahkan dan sekiranya kamu engkar ingatlah azabku amat pedih ? .

No comments:

Post a Comment

html